PENETAPAN ARAH KIBLAT OLEH JABATAN MUFTI NEGERI SELANGOR

Permohonan secara online yang diusahakan oleh Ustaz Rosmadi Bin Johari @ Ab Rasid telah mendapat jawapan dari Majlis Mufti untuk membuat penetapan arah kiblat di SK Bukit Sentosa.  Terutama di Surau Asy - Syakirin . dalam masa 2 minggu permohonan pegawai terlibat telah datang ke SK Bukit Sentosa.


Kehadiran pegawai-pegawai dimanfaatkan sepenuhnya dengan meminta mereka membuat taklimat tentang cara-cara mencari arah kiblat yang betul mengikut kaedah pengkiraan yang telah ditetapkan .
dalam tempoh dua minggu dapatlah sijil pengesahan .

Terima Kasih semua .

PEMANTAUAN PENGIMARAHAN SURAU SEKOLAH RENDAH PERINGKAT DAERAH

Untuk tahun 2014 sekali lagi Surau Asy-Syakirin dikunjungi oleh Pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Selangor bagi tujuan pemantauan surau peringkat daerah 

Jazakallah Khaira Kathira diucapkan kepada Ustaz Sahidan Bin Omar .  Nasihat , teguran dan bimbingan amat kami hargai .

MAJLIS PENUTUPAN BULAN DAKWAH DAN IHYA' RAMADHAN 1435 Hijriah

Program Ihya' Ramadhan dan Bulan Dakwah ditutup dengan Solat Dhuha Berjemaah yang dipimpin oleh Ustaz Bunyamin Bin Yaakob 
Kemudian dikuti Majlis Khatam al-Quran yang dipimpin oleh Ustaz Mohamad Azamuddin bin Abdul Aziz 
selepas itu majlis penyampaian hadiah dan seterusnya ditutup dengan salam Mahabbah sebagai tanda Aidilfitri bakal menjelang. 

PUASA 6 DI BULAN SYAWAL

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal
Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata:
Rasulullah SAW  bersabda: “ Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (Muslim no:1164)


Hukum Puasa Enam Syawal
Hukumnya adalah sunat.
Berkata Imam Nawawi rh : “Hadis ini jelas menjadikan dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari ( pada bulan syawal).”


Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal.  Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah Aidil Fitri dan kita dilarang berpuasa pada hari tersebut. 
Abu Hurairah ra berkata:
“ Nabi melarang puasa pada hari Aidil Fitri dan Aidil Adha.”
( Al-Bukhari no: 1991)


Bagaimana Melaksanakan Puasa Enam Syawal ?
Syarat  dan adab bagi puasa sunat enam syawal adalah sama seperti puaa Syawal adalah sama seperti puasa wajib di bulan Ramadhan.


 ADAKAH DILAKSANA SECARA BERTURUT?
Boleh dilaksanakan secara terputus ( tidak berturut-turut ) asalkan jumlah 6 hari dicukupkan dalam sebelum berakhirnya bulan Syawal. Rasulullah SAW menyebut secara umum tanpa memberi ketentuan hari, maka boleh berpuasa dalam bulan Syawal bukan pada                1 Syawal.

PUASA 6 SEBELUM MENGQADHA’ PUASA RAMADHAN?
Wujud perbincangan di kalangan para ulama’ , berkaitan puasa enam syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadahnya?

Berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa Syawal , Rasulullah SAW mensyarratkan “berpuasa Ramadhan terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”.
Ini menunjukkan puasa sunat 6 Syawal hanya dilaksanakan seseudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya.  Jika ada puasa Ramadhan yang ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu.  Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat 6 Syawal.

Menurut al-Khatib Asy-Syarbini:
“Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”.
( Mughni Al-Muhtaj 2 / 181 cet, Darul al-Ilmiah, Beirut)


PUASA QADHA' + PUASA 6

Persoalan ini berlaku khilaf diikalangan ulama’,          sebahagiannya berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain.  Sekiranya          dilakukan maka puasanya tidak sah dimana tidak dapat yang fardhu dan sunat.
Namun dikalangan ulama Syafi’iyyah berpendapat        bahawa ganjaran puasa enam tetap diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha’ sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang    diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. ( Lihat: Mughni Al-Muhtaj 2/184, Hasyiah Asy—Syarqawi 1/428, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah )
Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan  puasa 2 dalam 1 ini tidak bersandar dengan mana-mana dalil al-Quran dan as-Sunnah.  Mereka mengatakan amalan ini mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha’ dalam bulan Syawal. 

KESIMPULAN 
Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah dan sangat digalakkan oleh Rasulullah SAW.  Sempurnakan dahulu qadha  yang tertinggal , kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannnya di masa hadapan. 
Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah SWT ke jalan yang diredhai-NYA….


PENAWAR HATI PENGUBAT JIWA

Hati itu 3 bahagian :-
1) Hati yang selamat sejahtera :
Berjaya menyelamatkan hatinya dari melakukan perkara-perkara syubhah dan memelihara imannya dari perkara-perkara yang menyengutukan Allah (syirik) serta melaksanakan segala suruhan dan menjauhi larangan Allah SWT juga mengikuti sunnah Rasulullah saw. .  Dengan kata lain manusia yang selamat sejahtera hatinya ini sentiasa melakukan ibadah ikhlas kerana Allah dengan sepenuh rasa kehambaan.  Ia sentiasa menjaga akhlak dari segi perbuatan,    perkataan dan amalan. Sekiranya ia bercinta, cintanya kerana   Allah dan sekiranya ia marah, marahnya berlandaskan syariat Allah.

2) Hati yang mati :
Orang yang tidak mengenal Allah adalah Tuhannya, engkar dan tidak melaksanakan suruhanNYA serta menderhaka kepada sunnah Rasulullah s.a.w, sentiasa melakukan perkara-perkara yang mungkar.  Orang yang hatinya mati ini sentiasa mengikut nafsu syahwatnya . Dimana mengabdikan dirinya hanya kepada hawa nafsu sahaja.

3) Hati yang sakit
Hati yang hidup tetapi ada cacatnya. Ia mengandungi dua unsur yang berlawanan, pada satu ketika ia baik dan pada ketika yang lain pula ia buruk. Adakalanya di satu sudut hati itu         di dalam keadaan cintakan Allah Taala, beriman denganNya, ikhlas kepadaNya dan sentiasa bertawakal kepadaNya dalam setiap perkara. Dari sudut yang lain pula hati itu di dalam keadaan sering dan cenderung  mengikut hawa nafsu.  Bersifat tidak berpuashati dengan orang lain, dengki, menabur fitnah dan sebagainya.

Penyakit hati ada dua bahagian
1. Tidak menyakitkan dirinya secara fizikal :-  seseorang yang jahil, syubhat dan syak.  Ia merupakan penyakit hati yang paling bahaya.
2. Dizahirkan dengan fizikal hingga menyakitkan dirinya :- sedih, sayu, dukacita, marah dan sebagainya.  Penyakit hati in boleh dihilangkan dengan musababnya yang lain.

Penawar bagi kesemua jenis penyakit hati ini terkandung di dalam Al Quran. Firman Allah Taala : Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.

 Penawar penyakit hati ada empat perkara :
1- Dengan Al Quranul Karim;
merupakan ubat paling berkesan ketika mana hati di dalam keadaan syak, yang boleh menghilangkan syirik dan kotoran kekufuran serta penyakit syubhat dan syahwat.
2- Mengubati penyakit hati dengan tiga perkara :
· Menjaga hati dengan kekuatannya iaitu dengan keimanan, amal soleh dan amal yang    membawa kepada ketaatan.
· Benci atau menjauhi dari kemudaratan iaitu dengan menjauhi dari setiap maksiat dan  perkara yang berlawanan syariat.
· Menyucikan diri dari perkara yang buruk iaitu dengan taubat dan istighfar.
3- Mengubati penyakit hati yang dikuasai oleh nafsu secara  muhasabah ( merenung / mengimbas semula kesilapan) dan mukhalafah (menyedari dan memperbaiki kesilapan)
4- Mengubati penyakit hati dari syaitan :
Syaitan merupakan musuh bagi insan. Untuk mlepaskan diri dari godaannya Allah SWT menyarankan  kita menbaca isti’azah (اعوذ بالله من الشيطان الرجيم ) dan Nabi s.a.w  pula telah menggabungkan isti’azah ini untuk  berlindung dari keburukan nafsu dan keburukan syaitan.  Isti’azah, tawakal dan ikhlas itu dapat menghalang dari dikuasai syaitan.

Hati Sakit &  Hasad Dengki

Orang yang hatinya sentiasa sakit akan melahirkan perasaan hasad dengki, oleh itu hendaklah kita sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah SWT yang dipinjamkan kerana kiranya kita tidak bersyukur kita tidak akan puas hati melihat kejayaan orang lain.  Selalulah melakukan amal soleh dan membantu orang yang memerlukan, kerana kalau tidak beramal soleh nanti maksiat pula yang akan datang.  Sentiasa beringat bahawa hasad dengki itu akan merosakkan amal   kebajikan.  Tekun dan berusaha mencari rezeki yang halal, kerana apabila berusaha ke arah yang haram akan terjerumus ke lembah yang hina. Berbaik sangka terhadap orang lain dalam setiap tindakan kerana berburuk sangka akan dijauhi orang. Hendaklah selalu mengikat        silaturrahim dan bantu membantu serta menjaga   perkataan dan perbuatan daripada              menyinggung perasaan orang lain agar tidak hilang rakan dan taulan.
“ Usah cemburu melihat apa yang orang lain miliki, sehingga kita          membutakan hati kita untuk bersyukur apa yang telah kita nikmati” - Jue



NUZULUL QURAN ....

Sejarah al-Quran:
Antara  peristiwa agung dalam sejarah umat Islam ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran.
Ia dirakamkan dalam al-Quran, melalui firman Allah yang bermaksud :
Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”                                                       (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, di Gua Hira’ pada tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Nabi SAW. Kita hendaklah beriman dan mempercayai isi kandungan al-Quran. Beriman dengan al-Quran merupakan salah satu dalam Rukun Iman.

Erti Nuzul al-Quran:
‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.
‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.


Selain disebut al-Quran, ia  juga disebut al-Kitab, al-Furqan, An-Nur, al-Zikr dan lain-lain.

ALLAH memuliakan Ramadhan melebihi bulan lain, dengan memilih suatu malam yang penuh keberkatan daripada malam Ramadhan sebagai masa yang paling sesuai untuk diturunkan kitab suci al-Quran.
Selain al-Quran, beberapa kitab suci lain diturunkan Allah pada bulan mulia ini seperti suhuf Nabi Ibrahim yang diturunkan pada permulaan Ramadan, Taurat hari keenam dan Injil pada hari ke-13 Ramadan.
Berdasarkan peristiwa penurunan kitab suci (al-Samawi) pada Ramadhan, jelaslah betapa agung dan mulianya bulan ini.
Dimaksudkan dengan penurunan al-Quran pada Ramadhan ialah penurunan dari Luh al-Mahfuz ke Bayt al-'Izzah di langit dunia secara keseluruhan (jumlatan wahidatan), kemudian baru diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah saw selama 23 tahun.
Ini berdasarkan firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam penuh berkat.” (Surah al-Dukhan ayat 3)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) pada malam kemuliaan.” (Surah al-Qadr ayat 1)
Firman-Nya bermaksud: “Ramadhan, bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan batil).” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Maksud ketiga-tiga ayat di atas jelas menunjukkan bahawa al-Quran diturunkan pada suatu malam yang penuh keberkatan, iaitu dinamakan dengan Lailatul Qadr, salah satu malam dalam bulan Ramadhan.
Ayat ini juga menunjukkan cara penurunan al-Quran pada kali pertama adalah secara keseluruhan. Sekiranya dimaksudkan dengan penurunan dalam ketiga-ketiga ayat di atas adalah penurunan peringkat kedua, iaitu secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW, tentu tidak tepat dikatakan satu malam dan satu bulan

 iaitu bulan Ramadhan. Ini kerana al-Quran diturunkan dalam jangka masa yang lama, iaitu selama 23 tahun.
Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari (23 tahun) 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah
Kehebatan al-Quran:
1.        Allah berfirman yang bermaksud : “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Israa’, ayat 88)
2.        Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.
 3.        Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup  manusia di dunia dan   di akhirat.
 4.        Tidak sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “ dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu, selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yangbenar.”                                                                               (al-Baqarah, ayat 23).
 5.        Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan   teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW.

Hikmah Penurunan Al-Quran

Hikmah tertinggi yang selayaknya dipetik oleh setiap Muslim beriman ketika memperingati Nuzul Al Quran adalah menyedari dan memahami serta menghayati kembali kewajiban utamanya terhadap Al Quran. Setiap Muslim beriman mempunyai 5 (lima) tuntutan utama terhadap Al Quran.
a)   Mengimani Al Quran
Setiap Muslim wajib mengimani Al Quran. Kewajiban ini merupakan syari'at bahawa setiap Muslim beriman memang harus beriman kepada kitab suci dan Al Quran merupakan salah satu kitab suci, disamping Taurat, Zabur dan Injil. Setiap Muslim beriman wajib menyedarkan dirinya untuk sentiasa berpegang teguh keimanannya terhadap Al Quran. Hal ini merupakan tuntutan dan perintah serta peringatan Allah dalam Surah Al Nisa: 136, yang ertinya:
Wahai orang-orang beriman, berimanlah kepada Allah dan Rasul-Nya (Muhammad) dan berimanlah kepada kitab yang diturunkan kepada Rasul-nya ( Al Quran) dan kitab-kitab yang diturnkan sebelumnya. Siapa saja yang kafir terhadap Allah, Malaikat, Kitab, Rasul dan hari akhir, maka ia benar-benar berada dalam kesesatan yang sangat jauh

b)   Membaca Al Quran dengan benar dan baik.
Sebagai bukti bahwa seseorang itu beriman kepada Allah adalah kesanggupan dan kesediaannya untuk mengikuti perintah Allah. Salah satu perintah Allah yang tercantum dalam Al Quran adalah membaca Al Quran. Bukankah wahyu yang pertama kali diturunkan adalah Iqra' (perintah untuk membaca). Dan lebih tegas lagi Allah menyatakan dalam S. Al Muzammil: 4, yang ertinya
Bacalah Al Quran itu secara tartil .
Membaca Al Quran dengan tartil ertinya membaca Al Quran dengan suara terbaik yang dimiliki dengan tajwid, makhraj dam fasahah. Membaca Al Quran dengan suara indah merupakan salah satu Sunnah Rasulullah SAW, sebagaimana sabda Baginda :
Hiasilah Al Quran itu dengan suaramu (Al Bukhari).

c)   Memahami isi Al Quran.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh ayat 185 Surah Al Baqarah tersebut, bahawa tujuan utama pewahyuan Al 
Quran adalah sebagai hudan (petunjuk) bagi manusia. Hampir pasti bahwa seorang Muslim tidak mungkin mampu menjadikan Al Quran sebagai petunjuk manakala ia tidak faham isi dan makna isi kandungan Al Quran. Itulah sebabnya Allah menegaskan dalam Surah Shad: 29, yang ertinya.
Kitab (Al Quran) yang Aku wahyukan kepadamu itu penuh berkat; hendaklah kamu sekalian mendalami ayat-ayatnya dan sebagai peringatan bagi orang yang berakal.

d)   Mengamalkan Isi Al Quran
Iman tidak cukup hanya disimpan dalam hati (tashdiq bil qalbi) atau diproklamirkan secara lisan (iqrarun billisan) tetapi keimanan seseorang baru dianggap sempurna manakala telah dibuktikan dengan perbuatan nyata (wa amalun bil arkan).
Al Bukhari menyatakan bahawa Iman adalah ucapan dan perbuatan (Fathul Bari: I/5). Ibnu Rajab Al Hambali menyatakan : Iman adalah amal soleh (Fathul Bari: I/111). Seorang Muslim, baru sempurna imannya manakala ia mengamalkan isi dan petunjuk Al Quran. Seorang Muslim yang tidak mengamalkan isi dan petunjuk Al Quran akan sama nasibnya dengan seorang Musafir yang membawa peta, ia faham dengan petunjuk peta, tetapi ia tidak bersedia mengikuti petunjuk peta. Tidak ada nasib lain baginya kecuali sesat dalam perjalanannya. Na'udzu Billah.

e)   Mewariskan Al Quran
Setiap Muslim beriman wajib mewariskan Al Quran kepada zuriat keturunannyanya. Al Quran adalah petunjuk kehidupan. Barang siapa yang mewariskan Al Quran kepada keturunannya bererti ia mewariskan petunjuk kehidupan yang akan menyelamatkan mereka dari kesesatan. Rasulullah SAW menyatakan:
Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara; kamu tidak akan sesat selamanya sekiranya tetap berpegang teguh kepada keduanya; iaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnah rasul (HR. Al Bukhari-Muslim). 

CABARAN GURU MASA KINI ......

GURU SEBAGAI PENDORONG (MOTIVATOR)
Dikalangan murid terdapat mereka yang kurang berminat serta   tidak terdorong untuk belajar atas faktor diri dan persekitarannya.  Guru perlu peka membetulkan matlamat mereka ke sekolah melalui dorongan untuk mereka belajar , setidak-tidaknya mengajar dan meminta murid menghayati doa’ meminta perlindungan Allah SWT dari sifat malas dan berusaha menjadi murid contoh yang rajin dan bersungguh-sungguh.

GURU SEBAGAI FASILITATOR / PEMBIMBING
Perspektif konstruktivisme seorang Guru hanya akan menyediakan konsep atau idea sebagai panduan yang akan digunakan oleh murid dan mereka digalakkan untuk meneroka dan membina ilmu     pengetahuan dan kemahiran secara aktif melalui aktiviti kolaborasi dan koperatif bersama rakan dan Guru. 

GURU SEBAGAI AGEN SOSIAL DAN AGEN PERUBAHAN
Peranan Guru sebagai agen sosial melibatkan interaksi sosial        diantara murid dengan guru yang bersifat perkembangan.Ini            membolehkan murid bekerjasama sebagai pasukan pembelajaran koperatif dan kolaboratif.  Oleh sebab itu, lingkungan batas-batas akhlak amat penting kerana Guru merupakan idola murid-murid.  Selaku agen   perubahan pula Guru mesti menguasai dan melakukan inovasi     melalui perubahan yang berlaku dalam dunia pendidikan.            Contohnya penggunaan alat komunikasi dan teknologi maklumat secara berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk menambahbaik budaya pembelajaran yang kondusif serta membina komuniti sekolah yang berdaya maju dan mementingkan ilmu serta perkembangan akhlak.