MENGHAYATI PENGAJARAN ISRAK MIKRAJ

PENGAJARAN PERTAMA
Isra’ dan mikraj berlaku selepas kewafatan Siti Khadijah isteri kesayangan Rasulullah dan kewafatan bapa saudara Rasulullah iaitu Abu Talib. Kerana sedih dengan kewafatan kedua-dua orang yang disayangi, Baginda Rasulullah berhijrah ke Thaif tetapi Allah telah menentukan bahawa Baginda tidak diterima di Thaif.
Selepas peristiwa ini, Allah SWT telah mengIsra’ dan mikraj Rasulullah mengadapNya.
Secara ringkas pengajaran yang kita boleh ambil di sini adalah, Rasulullah sangat sedih dengan kewafatan orang yang disayanginya sehingga kesedihannya berlarutan berhari-hari. Kemudian ditimpa lagi dengan kesedihan kerana tidak diterima di Thaif.
Kesedihan ini adalah hal dunia. Rasulullah sedih kerana hal dunia. Allah SWT       mengubat kesedihan Rasulullah dengan mengIsra’ dan mikraj Rasulullah terus     mengadap Allah SWT dan ternyata Rasulullah dapat menghilangkan rasa sedih      baginda. Ini dapat menyedarkan kita, umat Islam bahawa Allah SWT adalah segala-galanya.
Kesedihan yang kita alami kebanyakannya adalah hal dunia dan ia hanya dapat     dipulihkan dengan Isra’ dan mikraj. Apakah Isra’ dan mikraj kita pada hari ini? Iaitu doa dengan sabar dan solat.
Kita berserah pada Allah SWT, kita berdoa dan bersolat. Mendirikan solat merupakan satu Isra’ kita mengerjakannya dan jiwa kita Mikraj kepada Allah SWT.
Malangnya kita pada hari ini tidak melakukan Isra’ dan mikraj ini. Kita hanya mendengar peristiwa Isra’ dan mikraj hanya berlaku pada Rasulullah. Namun diri kita jarang mendapat Isra’ dan mikraj sedangkan di dalam peristiwa Isra’ dan mikraj Rasulullah, Allah bukan sekadar mengfardhukan Solat itu hanya sekadar nama Solat yang perlu dijalan 5 waktu sehari semalam. Tetapi Allah SWT memberikan juga Isra’ dan mikraj kepada kita.
Ketika solat, adakah wudhuk kita sempurna? Tukmaninah kita sempurna? Bacaan kita sempurna dan sebagainya. Jika ia belum sempurna, maka Isra’ kita belum sempurna.
Kemudian, ketika kita mendirikan solat, adakah kita benar-benar bermikraj kepada Allah SWT? Sejauh mana fikiran dan jiwa kita kekal berhubung dengan Allah SWT ketika solat? Atau jiwa kita melayang entah ke mana. Jiwa kita perlu mikraj kepada Allah SWT dengan berserah, redha dan pasrah. Jika ini tidak dicapai, jiwa kita tidak kuat untuk mengharungi pelbagai halangan dan dugaan.
Peristiwa Isra’ dan mikraj bukan sahaja Rasulullah mengalaminya. Ia juga untuk semua umat Islam untuk mengalamimya. Namun pengalaman mengalaminya sudah tentu istimewa untuk Rasulullah di mana Rasulullah berIsra’ dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dan kemudian bermikraj mengadap Allah SWT. Manakala kita berIsra’ dengan gerakan solat yang betul disamping jiwa kita mikraj kepada Allah SWT.

 PENGAJARAN KEDUA
Isra’ dan mikraj berlaku pada tahun ke sebelas (11) kerasulan Rasulullah. Ini   bermakna, sebelum Isra’ dan mikraj ini, umat islam mengambil masa 10 tahun untuk menguatkan jiwa mereka. Mereka dikukuhkan kepercayaan dan keimanan mereka pada Allah SWT dan Rasulullah.
Perkara yang diingati ramai daripada peristiwa Isra’ dan mikraj adalah tentang kewajipan solat 5 waktu sehari semalam. Rasulullah menasihati kita umat islam agar menyuruh anak-anak kita mendirikan solat ketika umur 7 tahun dan rotan mereka jika tidak mendirikan solat ketika umur 10 tahun.
7   tahun kerana ketika ini, seorang kanak-kanak sudah memahami dengan sebaiknya tentang baik dan buruk. Jiwa mereka mampu beriman dengan sebenar-benarnya. Bukan iman ikut-ikutan. Kerana itu Rasulullah meminta umat Islam  untuk menyuruh kanak-kanak berumur 7 tahun mendirikan solat.
Kemudian 10 tahun adalah cukup untuk memantapkan jiwa mereka. Jika ibu bapa mendidik mereka sejak kecil dengan menguatkan jiwa mereka, mengajar mereka agar mereka sedar bahawa setiap apa yang mereka lakukan sentiasa diperhatikan oleh Allah SWT Yang Maha Melihat, dan menanamkan keyakinan dan kepercayaan kepada Allah SWT dan Rasulullah, pastinya tidak mempunyai masalah untuk mendirikan solat ketika umur 10 tahun.

KESIMPULAN
Dua pengajaran yang dibawakan daripada peristiwa Isra’ dan mikraj ini adalah berkenaan dengan soal jiwa. Keyakinan bahawa kebahagian adalah datangnya dari jiwa yang sejahtera dan HANYA ALLAH SWT yang dapat memberikan kesejahteraan itu.
Kemantapan jiwa perlu dilakukan sejak kecil lagi. Disamping diri kita, kita seharusnya mendidik anak-anak kita untuk memantapkan jiwa agar mencapai kepada kesedaran yang tertinggi. Jiwa yang positif akan dapat menyelesaikan semua   masalah yang ada kerana kita benar-benar pasrah, redha, berserah kepada Allah SWT.
Pengajaran Isra’ dan mikraj bukan sekadar peristiwa-peristiwa di dalamnya sahaja tetapi berlakunya peristiwa itu sendiri juga menguji tahap keyakinan jiwa umat islam terhadap kesahihan berlakunya peristiwa itu. Ia adalah hal jiwa dan hati.
Semoga kita memiliki jiwa yang positif di dalam kita menjalani hidup berTuhan iaitu meyakini TIADA Tuhan MELAINKAN ALLAH SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah Rasulullah.

MISTERI ISRAK MIKRAJ

Peristiwa Israk dan Mikraj (perjalanan Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram menuju Masjidil Aqsa, kemudian mikraj ke Sidratul Muntaha) yang diabadikan di dalam al-Quran merupakan satu proses pengukuhan dan penyucian spiritual Rasulullah s.a.w pada masa lalu, sekali gus menjadi ‘peristiwa agung’ yang mengandungi makna yang besar untuk dihayati oleh umat baginda pada masa kini.
Hanya dalam satu malam, Allah s.w.t ‘mencipta perjalanan’ bagi Rasulullah s.a.w untuk melihat sebahagian tanda-tanda kebesaran-Nya, mulai dari proses penciptaan alam semesta hingga ditetapkan-Nya perintah menunaikan solat. Berjuta misteri dan keajaiban menyelubungi perjalanan suci yang dilakukan dengan jasad dan roh Rasulullah dalam keadaan jaga itu (bukan mimpi).
Tahun yang dianggap tahun kesedihan ini akhirnya dengan kekuasaan Allah s.w.t telah ‘mengisrakmikrajkan’ Rasulullah s.a.w. Allah s.w.t telah menperjalankan hamba-Nya untuk memperlihatkan tanda-tanda kekuasaan-Nya. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah melihat sebahagian tanda-tanda kekuasaan Tuhan Yang Maha Agung. Ini bermakna hikmah peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah khusus bagi diri peribadi Rasulullah dan dengan perjalanan ini diharapkan dapat mengubati atau menghibur hati yang luka itu.
Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan suatu ‘perjalanan agung’ yang mengandungi makna tersirat yang perlu digali dan dihayati bagi menumbuhkan rasa takwa dan keimanan terhadap Allah s.w.t menerusi sebahagian tanda-tanda kebesaran-Nya yang telah diperlihatkan kepada Junjungan Besar Muhammad s.a.w. Oleh hal yang demikian itu, sebarang percanggahan pendapat mengenai peristiwa tersebut harus dilihat dari sudut keimanan dan ketakwaan, bukan terus-menerus memperdebatkannya dengan menggunakan logik akal semata-mata kerana ilmu manusia tidak akan dapat menyaingi ilmu Allah s.w.t.
Dia Maha Agung dan Maha Mengetahui akan setiap apa yang dicipta dan dikehendaki-Nya.

Semasa Isra’ Mikraj, Rasulullah ditunjukkan dengan pelbagai peristiwa antaranya ialah peristiwa Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain.  Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail:  Itulah orang yang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

Di dalam hadis yang hasan dari Samurah bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda. "Ertinya: Tunaikan amanah kepada orang yang memberi     amanah kepadamu, dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianatimu" (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ahlussunnan )
"Tanda orang yang munafik ada tiga: apabila berbicara berdusta, apabaila berjanji ia mungkir dan apabila diberi amanat dia berkhianat".

Sebagai seorang ibubapa hendaklah menunaikan amanah kepada anak-anak, suami  kepada isteri, isteri kepada suami, anak kepada ibubapa dan pekerja kepada majikan begitu juga sebaliknya majikan kepada pekerja.  Selagi hayat dikandung badan semua tanggungjawab adalah amanah yang mesti ditunaikan. Menunaikan amanah atau pekerjaan dengan bersungguh-sungguh mengharapkan pahala dari Allah maka akan beroleh balasan didunia dan keberuntungan di akhirat. 

Menunaikan amanah dengan jujur dan ikhlas semasa bekerja akan menjadikan rezki yang diterima beroleh keberkatan.  Melaksanakan pekerjaan dengan beramanah   semasa menjalankan tugas, tidak melakukan pekerjaan lain semasa waktu bekerja samada untuk keperluan peribadi atau untuk orang lain yang tiada kaitan dengan pekerjaan dan tugasnya.Kerana jam kerja bukanlah milik pegawai atau pekerja,  tetapi untuk kepentingan pekerjaan yang ia mengambil upah dengannya ( mendapat gaji).  Keberkatan itu ditimbal balas oleh Allah SWT melalui kebahagiaan, kesihatan dan kehidupan yang aman harmoni samada sesama ahli keluarga, sahabat dan jiran tetangga.

Memetik kata-kata Prof. Dr Muhaya…...
Apa pun kerja kita di dunia ini, jangan niat untuk menunjuk tetapi niat lah untuk memberi manfaat pada orang lain.
Cara untuk mengetahui kualiti hidup kita, lihatlah dengan siapa kita berkawan kerana di Padang Mahsyar nanti kita akan bersama dengan orang yang bersama dengan kita didunia ini.
Mempunyai hobi yang tidak mendekatkan diri pada Allah adalah sangat merugikan kerana jika kita mengejar dunia, dunia menghina kita. Tetapi, apabila kita mengejar akhirat, dunia kejar kita.
Wallahu ‘aklam ……..





SURAU Asy -SYAKIRIN

PENGENALAN
Surau al- Syakirin merupakan syiar Islam di Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa.  Pembinaannya bukan sekadar tempat untuk melaksanakan ibadat solat semata-mata sama ada secara individu atau berjamaah tetapi ia berfungsi sebagai pusat kegiatan Pendidikan Islam di Sekolah.  Pengurusan surau yang sistematik dan berkualiti dengan pelbagai program yang di atur dan dilaksanakan akan dapat melahirkan murid-murid yang memahami dan menghayati Islam secara syumul dalam kehidupan seharian mereka.

VISI
PUSAT ILMU MEMBINA MODAL INSAN BERKUALITI DUNIA AKHIRAT
MISI
MEREALISASIKAN FUNGSI SURAU AL-SYAKIRIN SEBAGAI PELENGKAP PEMBELAJARAN MEMUPUK INSAN RABBANI YANG BERSAHSIAH DAN BERAQIDAH MULIA
MOTTO
“SEGALANYA BERMULA DISINI”