NUZULUL QURAN ....

Sejarah al-Quran:
Antara  peristiwa agung dalam sejarah umat Islam ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran.
Ia dirakamkan dalam al-Quran, melalui firman Allah yang bermaksud :
Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”                                                       (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, di Gua Hira’ pada tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dikurniakan kepada Nabi SAW. Kita hendaklah beriman dan mempercayai isi kandungan al-Quran. Beriman dengan al-Quran merupakan salah satu dalam Rukun Iman.

Erti Nuzul al-Quran:
‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.
‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.


Selain disebut al-Quran, ia  juga disebut al-Kitab, al-Furqan, An-Nur, al-Zikr dan lain-lain.

ALLAH memuliakan Ramadhan melebihi bulan lain, dengan memilih suatu malam yang penuh keberkatan daripada malam Ramadhan sebagai masa yang paling sesuai untuk diturunkan kitab suci al-Quran.
Selain al-Quran, beberapa kitab suci lain diturunkan Allah pada bulan mulia ini seperti suhuf Nabi Ibrahim yang diturunkan pada permulaan Ramadan, Taurat hari keenam dan Injil pada hari ke-13 Ramadan.
Berdasarkan peristiwa penurunan kitab suci (al-Samawi) pada Ramadhan, jelaslah betapa agung dan mulianya bulan ini.
Dimaksudkan dengan penurunan al-Quran pada Ramadhan ialah penurunan dari Luh al-Mahfuz ke Bayt al-'Izzah di langit dunia secara keseluruhan (jumlatan wahidatan), kemudian baru diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah saw selama 23 tahun.
Ini berdasarkan firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam penuh berkat.” (Surah al-Dukhan ayat 3)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) pada malam kemuliaan.” (Surah al-Qadr ayat 1)
Firman-Nya bermaksud: “Ramadhan, bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan batil).” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Maksud ketiga-tiga ayat di atas jelas menunjukkan bahawa al-Quran diturunkan pada suatu malam yang penuh keberkatan, iaitu dinamakan dengan Lailatul Qadr, salah satu malam dalam bulan Ramadhan.
Ayat ini juga menunjukkan cara penurunan al-Quran pada kali pertama adalah secara keseluruhan. Sekiranya dimaksudkan dengan penurunan dalam ketiga-ketiga ayat di atas adalah penurunan peringkat kedua, iaitu secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW, tentu tidak tepat dikatakan satu malam dan satu bulan

 iaitu bulan Ramadhan. Ini kerana al-Quran diturunkan dalam jangka masa yang lama, iaitu selama 23 tahun.
Al-Quran diturunkan beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari (23 tahun) 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah
Kehebatan al-Quran:
1.        Allah berfirman yang bermaksud : “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Israa’, ayat 88)
2.        Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.
 3.        Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup  manusia di dunia dan   di akhirat.
 4.        Tidak sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “ dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu, selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yangbenar.”                                                                               (al-Baqarah, ayat 23).
 5.        Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan   teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW.

Hikmah Penurunan Al-Quran

Hikmah tertinggi yang selayaknya dipetik oleh setiap Muslim beriman ketika memperingati Nuzul Al Quran adalah menyedari dan memahami serta menghayati kembali kewajiban utamanya terhadap Al Quran. Setiap Muslim beriman mempunyai 5 (lima) tuntutan utama terhadap Al Quran.
a)   Mengimani Al Quran
Setiap Muslim wajib mengimani Al Quran. Kewajiban ini merupakan syari'at bahawa setiap Muslim beriman memang harus beriman kepada kitab suci dan Al Quran merupakan salah satu kitab suci, disamping Taurat, Zabur dan Injil. Setiap Muslim beriman wajib menyedarkan dirinya untuk sentiasa berpegang teguh keimanannya terhadap Al Quran. Hal ini merupakan tuntutan dan perintah serta peringatan Allah dalam Surah Al Nisa: 136, yang ertinya:
Wahai orang-orang beriman, berimanlah kepada Allah dan Rasul-Nya (Muhammad) dan berimanlah kepada kitab yang diturunkan kepada Rasul-nya ( Al Quran) dan kitab-kitab yang diturnkan sebelumnya. Siapa saja yang kafir terhadap Allah, Malaikat, Kitab, Rasul dan hari akhir, maka ia benar-benar berada dalam kesesatan yang sangat jauh

b)   Membaca Al Quran dengan benar dan baik.
Sebagai bukti bahwa seseorang itu beriman kepada Allah adalah kesanggupan dan kesediaannya untuk mengikuti perintah Allah. Salah satu perintah Allah yang tercantum dalam Al Quran adalah membaca Al Quran. Bukankah wahyu yang pertama kali diturunkan adalah Iqra' (perintah untuk membaca). Dan lebih tegas lagi Allah menyatakan dalam S. Al Muzammil: 4, yang ertinya
Bacalah Al Quran itu secara tartil .
Membaca Al Quran dengan tartil ertinya membaca Al Quran dengan suara terbaik yang dimiliki dengan tajwid, makhraj dam fasahah. Membaca Al Quran dengan suara indah merupakan salah satu Sunnah Rasulullah SAW, sebagaimana sabda Baginda :
Hiasilah Al Quran itu dengan suaramu (Al Bukhari).

c)   Memahami isi Al Quran.

Sebagaimana yang ditegaskan oleh ayat 185 Surah Al Baqarah tersebut, bahawa tujuan utama pewahyuan Al 
Quran adalah sebagai hudan (petunjuk) bagi manusia. Hampir pasti bahwa seorang Muslim tidak mungkin mampu menjadikan Al Quran sebagai petunjuk manakala ia tidak faham isi dan makna isi kandungan Al Quran. Itulah sebabnya Allah menegaskan dalam Surah Shad: 29, yang ertinya.
Kitab (Al Quran) yang Aku wahyukan kepadamu itu penuh berkat; hendaklah kamu sekalian mendalami ayat-ayatnya dan sebagai peringatan bagi orang yang berakal.

d)   Mengamalkan Isi Al Quran
Iman tidak cukup hanya disimpan dalam hati (tashdiq bil qalbi) atau diproklamirkan secara lisan (iqrarun billisan) tetapi keimanan seseorang baru dianggap sempurna manakala telah dibuktikan dengan perbuatan nyata (wa amalun bil arkan).
Al Bukhari menyatakan bahawa Iman adalah ucapan dan perbuatan (Fathul Bari: I/5). Ibnu Rajab Al Hambali menyatakan : Iman adalah amal soleh (Fathul Bari: I/111). Seorang Muslim, baru sempurna imannya manakala ia mengamalkan isi dan petunjuk Al Quran. Seorang Muslim yang tidak mengamalkan isi dan petunjuk Al Quran akan sama nasibnya dengan seorang Musafir yang membawa peta, ia faham dengan petunjuk peta, tetapi ia tidak bersedia mengikuti petunjuk peta. Tidak ada nasib lain baginya kecuali sesat dalam perjalanannya. Na'udzu Billah.

e)   Mewariskan Al Quran
Setiap Muslim beriman wajib mewariskan Al Quran kepada zuriat keturunannyanya. Al Quran adalah petunjuk kehidupan. Barang siapa yang mewariskan Al Quran kepada keturunannya bererti ia mewariskan petunjuk kehidupan yang akan menyelamatkan mereka dari kesesatan. Rasulullah SAW menyatakan:
Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara; kamu tidak akan sesat selamanya sekiranya tetap berpegang teguh kepada keduanya; iaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnah rasul (HR. Al Bukhari-Muslim). 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan